Tribut buat Syaikh (Hājī) ʿAbd Wahhab Saheb rah.

Semalam pada tanggal 18 November 2018, ummat Islām amnya dan secara khususnya para pendakwah yang berkecimpung di dalam gerakan Jemaʿāh Tablīgh di seluruh dunia berdukacita di atas kematian Hājī ʿAbd Wahhab rah. Kematian tokoh pendakwah yang disegani tersebut di usia 95 tahun amat dirasai kerana beliau ialah saki-baki pendakwah di dalam Jemāʿah Tablīgh yang berkesempatan mempelajari secara khusus amali kerja dakwah dari pengasasnya sendiri iaitu Syaikh al-Daʿillāh Maulānā Muhammad Ilyās al-Kandhālawī rah.

Kematiannya telah disahkan oleh pasukan perubatan dari Hospital Lahore dan penguman rasmi mengenai kematiannya telah dibuat di markaz Raiwind oleh Maulānā Kurshid di hadapan para pendakwah yang sedang bermukim di markaz tersebut. Berbekalkan capaian teknologi, sekejap sahaja berita mengenai kematian beliau ini telah tersebar di seluruh dunia tidak terkecuali di Malaysia. Sememangnya berita ini amat mendukacitakan para pendakwah. Ketika saya menulis tribut ini, jenazah beliau telah pun selamat disempurnakan. Alhamdulillāh.

Hājī Abd Wahhab rah merupakan seorang pendakwah yang terkenal bukan sahaja di Pakīstān, tetapi diseluruh dunia. Beliau merupakan juru pembicara utama di mana-mana Ijtimak besar dunia antaranya di Ijtimak Raiwind dan Ijtimak Tongi. Pembicaraan sama sahaja di mana-mana pun iaitu mengajak Umat Islām kembali kepada Allāh.

Pendakwah yang ikhlas ini telah dilahirkan pada tahun 1922M di sebuah perkampungan bernama Rajput, Delhi, India. Beliau mempunyai pendidikan awam dari Kolej Islām, Lahore. Zaman mudanya banyak dihabiskan mendampingi ʿalim ʿulamā, antara ʿulamā yang selalu menjadi rujukan beliau pada usia mudanya ialah seorang ʿulamā yang terkenal dengan pengajian tafsirnya iaitu Maulānā Ahmad Ali al-Lahurī rah dan Maulānā ʿAbd Qadīr al-Raifurī rah. Pemuda yang mempunyai semangat kecintaan agama yang tinggi ini telah berkesempatan berkenalan dengan Maulānā Ilyās rah di dalam satu majlis. Maulānā Ilyās rah telah memberitahu kepada beliau tentang usaha dakwah yang sedang beliau gerakan dan matlamat disebalik usaha dakwah ini. Beliau amat tertarik dengan cetusan idea dan pemikiran Maulānā Ilyās rah lalu menyebabkan beliau teringin menziarahi Maulānā Ilyās di rumahnya. Maulānā Ilyās rah telah mengajak beliau untuk membantu beliau dalam berdakwah dan mengembangkan lagi gerakan dakwah pimpinan beliau ini.

Pada Januari 1944M, Hājī Abd Wahhab rah telah menemui Maulānā Ilyās rah dan bersetuju untuk membantu beliau dalam gerakan dakwah ini. Setelah berdamping dan mempelajari usaha dakwah ini dari Maulānā Ilyās rah selama 6 bulan di markaz Nizamuddīn, Hājī Abd Wahhab rah beserta 5 orang terawal yang lain antaranya ialah Hājī Muhammad Shafi rah, Hājī Muhammad Bashir rah (beliau ialah bapa kepada Maulānā Ehsanul Haq) dan (2 orang lagi tu saya lupa) telah menawarkan diri untuk membantu Maulānā Ilyās dan gerakan Jemāʿah Tablīghnya. Beliau telah berjanji kepada Maulānā Ilyās rah bahawa beliau akan membantu menyebar dan mengembangkan lagi gerakan Jemāʿah Tablīgh ini. Pada 13 Julai di tahun yang sama, setelah menderita disebabkan penyakit yang dihadapinya, Maulānā Ilyās rah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kegiatan Jemāʿah Tablīgh tetap diteruskan biarpun, ramai orang menyangka bahawa selepas kematian Maulānā Ilyās rah, gerakan dakwah ini juga akan mengalami kemerosotan, namun selepas perlantikan Amir baru yang kedua iaitu Maulānā Muhammad Yusuf al-Kandhālawī rah, gerakan dakwah ini berjalan seperti biasa bahkan semakin mendapat tempat di hati Umat Islām.

Setelah Pakīstān berpisah daripada India, Hājī Abd Wahhab rah bersama Umat Islām yang lain telah berpindah ke Pakīstān dan menetap di Lahore. Di sana lebih spesifik lagi di Raiwind, beliau telah mengasaskan satu markaz untuk kegiatan utama Jemāʿah Tablīgh bagi negara Pakīstān. Setelah berpindah, Hājī Abd Wahhab rah dan 4 orang rakannya yang lain yang sebelum itu pernah berjanji kepada Maulānā Ilyās rah telah memperbaharui ikrar janji mereka kepada Maulānā Yusuf rah untuk mendidikasikan seluruh hidup mereka untuk kegiatan dakwah ini. Maulānā Yusuf rah telah melantik Hājī Muhammad Shafi rah sebagai Amir Jemāʿah Tablīgh pertama negara Pakīstān, kemudian diikuti selepas itu oleh Hājī Muhammad Bashir rah sebagai Amir Jemāʿah Tablīgh kedua negara Pakīstān. Selepas Hājī Muhammad Bashir rah meninggal dunia pada tahun 1992M, Hājī Abd Wahhab rah telah dilantik sebagai AmirʿJemāʿah Tablīgh ketiga bagi negara Pakīstān.

Beberapa tahun sebelum kematian Amir Jemāʿah Tablīgh dunia ketiga iaitu Maulānā Inʿam Hasan al-Kandhālawī rah, beliau telah membentuk barisan syura dunia (Alami Syura) yang akan bertanggungjawab terhadap kegiatan jemāʿah ini di seluruh dunia. Antara barisan syura tersebut ialah Maulānā Saʿīd Ahmad Khan rah, Maulānā Izharul Hasan rah, Maulānā Umar al-Balanfurī rah, Maulānā Saʿād al-Kandhālawī, Miyanjī Mehrab rah, Hājī ʿAbd Wahhab rah, Hājī Muqit rah, Maulānā Zubairul Hasan al-Kandhālawī rah dan Hājī Afsal Saheb.

Di sebalik kesibukan beliau dalam gerakan dakwah Jemāʿah Tablīgh, Hājī Abd Wahhab rah juga merupakan seorang pengamal tarikat Chistiyyāh di mana beliau merupakan khalifah kepada Syaikh Tarikat terkenal di India iaitu Maulānā ʿAbd Qadīr al-Raifurī. Di akhir hayat beliau pun, beliau masih lagi beramal dengan disiplin tarikat Chistiyyāh.

Pada tahun 2013, Hājī Saheb pernah dicadangkan oleh kerajaan Pakīstān untuk berdialog dengan Taliban bersama-sama dengan Maulānā Samiulhaq al-Haqqanī (Maulānā Samiulhaq telah meninggal dunia 2 minggu lepas selepas dibunuh oleh penyerang bertopeng di rumahnya).

Walaupun gerakan Jemāʿah Tablīgh dan para pimpinan amat tidak mengemari lensa kamera (kemahsyuran dunia), namun pada tahun 2016, majalan top100 muslim telah menyenaraikan beliau sebagai individu muslim ke 5 sangat berpengaruh dunia.

Setelah lebih 74 tahun mewakafkan diri untuk kerja dakwah dan berkhidmat untuk agama, semalam pada tanggal 18 November 2018, pendakwah yang ikhlas lagi cekal ini telah kembali menemui penciptaNya selepas solat subuh. Innalillāhiwainna ilaihirojiun.

Ratusan ribu Umat Islām dari seluruh Pakīstān telah berkumpul di medan Ijtimak Raiwind untuk menyolatkan jenazah beliau sambil solat jenazah beliau telah diimamkan oleh Amir Jemāʿah Tablīgh keempat (baru) negara Pakīstān iaitu Maulānā Nazrulrahman). Ramai tokoh-tokoh dari pelbagai latar belakang telah mengucapkan takziah sempena kematian beliau dan turut tidak ketinggalan ialah Perdana Menteri Pakīstān iaitu Mr Imran Khan, Muftī besar Pakīstān iaitu Muftī Rafiʿ al-ʿUthmānī dan abangnya Muftī Taqī al-ʿUthmānī juga turut mengucapkan takziah dan bersedih di atas kematian Hājī ʾAbd Wahhab rah.

Saya mengakhiri tribut ini dengan kata-kata yang dilafazkan oleh bonda kepada Maulānā Yusuf rah ketika di hari kematian beliau, “ Wahai anakandaku, dahulu kamu ketika hidup meletihkan dirimu untuk Ummat, sekarang nikmatilah kerehatan di dalam quburmu”. 

Hājī ‘Abd Wahhab rah, “ selamat berisytirehat di dalam quburmu, wallāhi kami telah menyaksikan tuan telah meletihkan diri tuan ummat “. Ya Allāh rahmatilah beliau, luaskanlah quburnya dan terangkanlah qubur beliau “. آمــــــين يا رب العالمينِ .

Gambar: 1.2juta solat jenazah Hj Abd Wahab Sab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *