“Kau tau Malaysia ni bumi emas? Kiri kanan depan belakang bersepah peluang.”

Pagi tu, habis kelas sahabat saya asal Yaman ni, Dr Miqdad ajak teman minum Nescafe 3 in 1 di pantri.

“Aku tau memang dari dulu tanah ni orang panggil semenanjung emas. Tapi pasal peluang ni, aku kaburlah.” Saya jawab sambil sengih je soalan beliau tu.

Memang pun, susah betul nak nampak. Kalau tengok orang yang datang hijrah ke bumi emas ni, mudah je..macam-macam peluang terhidang dan terus rebut.

“Itulah kau, kami orang luar ni nampak macam-macam boleh buat.

Ni aku nak cerita..” dia berhenti kejap, masukkan nescafe dalam cawan ada air panas. Kacau dua tiga kali.

Ting..ting..ting bunyi cawan kaca kena sudu besi. Lepastu dia sambung semula.

“Masa aku buat master di UM dulu, aku dah mula bisnes. Untuk hidup sebagai pelajar. Aku jual madu.

Mula aku bawa sikit-sikit, akhirnya bila dah ada permintaan tinggi aku bawa masuk banyak. Pasang ejen jualan. Alhamdulillah, dapat hidup, selesa la di tempat orang dengan bisnes madu tu.

Kemudian aku pernah bawa masuk beg-beg sekolah dari China, satu kontena. Partner dengan kawan aku yang buka syarikat di sini. Berbaloi betul.” Dia minum Nescafe, saya pula telan air liur.

“Macam mana Dr jual? Jual pada siapa?”

“Sebelum order, carilah market dulu. Buka pasaran. Tanya kedai-kedai.” Mudah beliau bagi jawapan.

Sesuailah, bukan calang orang di hadapan saya ini. Graduan Dr falsafah (PhD) ekonomi. Tapi berjiwa entrepreneur.

Itu belum buka cerita macam mana dia dan beberapa rakan buka International School di KL lagi. Sebelum ni dia pernah kisahkan.

Lagi best satu hari tu dia call dan tanya pasal kilang arang di Temerloh. Ada kawan Arab yang tengah cari untuk supply arang.

Sentap terus. Arang pun boleh buat import export ke..haha.. Kilang kayu saya tahu la, kilang arang entah kat mana wujudnya.

Begitulah, kita bila selesa susah nak nampak peluang yang ada. Untuk survival, untuk selesa dan bantu orang pula.

Orang putih kata:

‘Step out. Get uncomfotable! Because only then will you be able to grow.’

“Kau perhatilah sekeliling betul-betul, cari, pasti akan dapat jumpa peluang-peluang tu.” Dia sambung pecahkan monolog dalaman saya.

**********

Bila duk ingat semula perbualan kami tu. Saya ingat, waktu itu dan hingga kini Yaman masih dalam kemelut perang saudara.

Kampung sahabat saya ini diserang, keluarga ditekan.

Sumber terhad. Keadaan sukar dan perit.

Gagah beliau di sini, bekerja mencari nafkah. Di hadapan sahabatnya masih senyum dan memberi buah-buah nasihat selalu.

Tapi dalam hati, hanya Allah yang tahu kan. Kita tak diuji berat begitu.

Saya tahu, dia di sini membantu keluarganya dari jauh.

Kita doakan moga segala urusan beliau dan keluarga dimudahkan. Amin.

Kredit FB: Firdaus Shahidin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *